Thursday, December 8, 2011

ADAB MAKAN DAN MINUM MENURUT SUNNAH


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai pembawa rahmat (kebaikan) kepada sekalian alam. Nabi s.a.w banyak mengajarkan kita tentang cara hidup seharian yang bersendikan kepada ‘aqidah dan ibadah’, sejak kita mula bangun pagi, masuk tandas, makan dan minum, memakai pakaian, menaiki kenderaan, mula bekerja, pulang kerumah, berehat dan tidur.
Sukatan makan dan minum yang menjadi panduan hidup orang Mukmin adalah berdasarkan sabda Nabi SAW yang maksudnya : “Adalah kami para Nabi, kami tidaklah hidup kenyang.”
Nabi SAW tidak makan sebelum baginda merasa lapar dan lebih dahulu berhenti sebelum sampai ke tahap kenyang atau merasa puas.

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat beberapa adab-adab makan dan minum cara Nabi SAW untuk menjadi panduan kita semua untuk mendapat keberkatan di sisi Allah s.w.t dengan mengikut sunnah baginda.

Pertama : Membasuh tangan sebelum makan.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Keberkatan makanan itu ialah membasuh (tangan) sebelumnya (sebelum makan) dan membasuh selepasnya.”
(Hadis Riwayat Abu Daud dan Turmudzi).
Dari Sayyidah Aisyah r. ‘anha bahawa Rasulullah SAW apabila berjunub, maka baginda berwudhu’ (seperti wudhu’) untuk solat dan apabila baginda ingin makan baginda membasuh kedua tangannya (lebih dahulu).

Kedua : Membaca Bismillaah. (Bismillahirahmanirrahim)
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Apabila seseorang lelaki memasuki rumahnya, lalu dia menyebut Allah (membaca Bismillaah) di kala masuk dan di kala makan, maka berkata syaitan : “Tiadalah peluang aku bermalam dengan kamu dan tiadalah pada makanan malam kamu.” Dan apabila seorang masuk ke rumahnya , maka dia tidak menyebut Allah di kala memasukinya, maka berkata syaitan : “Aku akan bermalam dengan kamu.”
Seterusnya apabila dia tidak menyebut Allah di kala makan, maka syaitan akan berkata : “Aku akan dapat bermalam dan makan malam (bersama kamu; kongsi makan)”
(Hadis Riwayat Muslim)

Nabi SAW telah bersabda kepada seorang kanak-kanak yang makan di samping baginda maksudnya : “Wahai kanak-kanak, sebutlah nama Allah..”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketiga : Membaca doa makan.
Sabda Nabi SAW, yang maksudnya :
“Allaahumma baarik lanaa fiimaa razaqtanaa wa qinna’adzaabannar.
maksudnya : Ya Allah, berkahilah rezeki yang Engkau rezekikan kepada kami, dan peliharalah kami dari siksa Neraka.” (Hadis Riwayat Ibnu As-Sunni)
Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah satu doa yang diajar oleh Nabi SAW. bila hendak makan: ‘Allahumma barik lana fihi wa ath ighmna khairan minhu’,
maksudnya: ”Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami pada makanan ini dan kurniakanlah kepada kami makanan yang lebih baik daripadanya.”

Keempat : Makan dan minum dengan tangan kanan.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Apabila salah seorang di antara kamu makan, hendaklah dia makan dengan menggunakan tangan kanannya dan apabila dia minum hendaklah dia minum dengan menggunakan tangan kanannya kerana sesungguhnya syaitan itu, dia makan dengan menggunakan tangan kirinya dan minum juga dengan menggunakan tangan kirinya.”
(Hadis Riwayat Muslim).
Makruh makan dan minum dengan menggunakan tangan kiri kerana ianya adalah di antara adat-adat syaitan dan sesiapa yang melakukan sedemikian, bererti dia menyerupanya. Termasuk juga apabila kita mengambil lauk pauk di dalam majlis hendaklah menggunakan tangan kanan bukan tangan kiri kerana adat melayu yang mengambil lauk tangan kiri (takut sudu kotor) adalah tidak ikut sunnah.


Kelima : Makan makanan yang mengiringi (makanan yang terdekat)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “..dan makanlah (dengan memulakan makan) makanan yang mengiringi engkau.”
(Hadis Riwayat Bukhari).

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Hendaklah kamu menyebut nama Allah (dikala hendak makan) dan hendaklah setiap orang (mula) makan makanan yang mengiringinya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Maksud makanan yang mengiringi adalah makanan yang terdekat kerana menjadi adab Islam mengutamkan makanan yang berdekatan daripada mengambil makanan yang berdekatan dengan rakannya. Selepas itu barulah ia mengambil makanan yang jauh sedikit daripadanya.

Keenam : Mula makan tepian bukan tengah.
Sabda Nabi SAW. maksudnya : “Apabila seseorang kamu makan suatu makanan, maka janganlah dia (mula) makan makanan yang berada di puncak pingan (bahagian tengah), akan tetapi hendaklah dia memakan makanan daripada dahagian di sebelah bawahnya (tepi yang berdekatan dengannya) kerana sungguhnya keberkatan itu turun daripada puncaknya (kebawah)” (Hadis Riwayat Abu Daud).
Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda maksudnya : “Sesungguhnya keberkatan itu turun ke bahagian tengah makanan, maka kamu makanlah daripada bahagian yang di tepinya (yang mendekatimu) dan janganlah kamu makan daripada bahagian tengahnya (puncaknya)”

Ketujuh : Duduk semasa makan.
Makan dan minum secara berdiri adalah bukan daripada adab Islam kerana Nabi SAW menunjukkan contoh makan dan minum baginda secara duduk.

Pada satu ketika Nabi SAW telah dihadiahkan sesekor kambing yang telah dimasak. Maka baginda turun makan secara berlutut. Tiba-tiba bertanya seorang Arab Desa kepada baginda. “Duduk apakah ini?”. Maka baginda SAW menjawab : “Sungguhnya Allah telah menjadikan saya seorang hamba yang pemurah, dan Dia (Allah) tidaklah menjadikan saya seorang yang tidak kenal belas kasihan lagi keras kepala (derhaka).”
(Hadis Riwayat Abu Daud).


Kelapan : Makan dengan tiga putung jari.

Kaab bin Malik memberitakan : “Adalah kebiasaan Rasulullah SAW menjemput makanan dengan menggunakan tiga putung jari.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Menjemput makanan dengan kurang daripada tiga jari menunjukkan kesombongan, manakala menjemput dengan lebih tiga putung jari pula menandakan buruk makan. Kerana bila makan roti, buah tamar atau kuih muih eloklah gunakan tiga putung jari. Tetapi jika makan nasi perlu menggunakan putung lima jari kerana bersesuaian dengan jenis makanan. Begitu juga makan bubur nasi , bubur kacang atau sup perlu menggunakan sudu pula.

Kesembilan : Tidak mencela atau mengaibkan makanan.

Abu Hurairah r.a. pernah memberitakan bahawa : “Tiadalah sekali-kali Nabi SAW mengaibkan makanan (yang dihidang), jika baginda berselera baginda memakannya dan jika baginda tidak ingin baginda meninggalkannya.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Perkataan mengaibkan atau merendah-rendahkan makanan itu seperti seseorang sedang makan ia berkata, “Makanan ini tawar ebar, masam rebam, masin perat, pedas gila, mentah dan sebagainya. Terutama ketika berbuka puasa.
Tujuan kata-kata itu bermaksud mencela makanan tersebut termasuk menyindir orang yang memasaknya kurang prihatin tentang rasanya. Jika ingin menegur pun eloklah secara hikmah untuk kebaikan akan datang dan bukan diucapkan semasa menjamu selera kerana boleh menjatuhkan maruah orang lain.
Nabi SAW pernah dijamu sejenis biawak padang pasir (dhabb), dikala baginda ditanyakan : “Adalkah dia haram?”. Baginda menjawab ; “Tidak! Cuma dia tidak (hidup) di bumi kaumku, maka tidaklah seleraku untuk memakannya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Juga sebagaimana terdapat dalam suatu kisah kaum ini (Quraisy) di kala ditanyakan Nabi SAW : “Adakah binatang ini haram?” Maka baginda menjawab : “Tidak! Akan tetapi saya tidak menyukainya disebabkan baunya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Kesepuluh : Bercakap semasa menjamu selera.
Semasa makan para ulama menggalakkan bercakap mengenai kebaikan makanan, percakapan-percakapan baik dan kisah-kisah orang soleh sekitar makanan dan selainnya.
Semasa makanan berada dimulutnya jangan bercakap kerana perbuatan tersebut adalah buruk bila makan bersama orang lain. Kerana ditakuti makanan terhambur ke muka orang lain. Jika boleh semasa mengunyah hendaklah tidak berbunyi.

Kesebelas : Makan suapan terjatuh.

Jaabir bin Abdullah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya ; “Apabila suapan seseorang kamu terjatuh, maka hendaklah dia mengambilnya, hendaklah dia membuang kemudharataan padanya dan hendaklah dia memakannya dan janganlah dia meninggalkannya kepada syaitan (secara membazir)”
(Hadis Riwayat Muslim)

Di galakkan memakan suapan (makanan) yang terjatuh, jika boleh dibasuh seberapa boleh dan makan semula. Jika makanan tersebut jatuh dan lantai tersebut agak kotor maka makanan tersebut diambil juga dan diberikan kepada haiwan dan jangan dibuangkan dan ditinggalkan kepada syaitan. Ini menunjukkan Islam cukup menbenci perbuatan menbazir dan tidak menghormati makanan. Nasi-nasi yang terjatuh di meja makan hendaklah dikutib dan dimakan semula kerana kita tidak tahu keberkatan rezeki ada dibutiran mana nasi yang terjatuh.
Kedua belas : Tidak bernafas dalam bekas minum.

Ibnu Abbas r.a menyatakan bahawa, “Sungguh Nabi SAW melarang bernafas dalam bekas minum atau menghembuskan kedalannya.”
(Hadis Riwayat Turmudzi)


Ketiga belas : Tidak makan banyak.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Orang Mukmin makan menggunakan sebuah perut, sedangkan orang kafir itu makan menggunakan tujuh buah perut” (Hadis Riwayat Bukhari)
Hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tiadalah wadah yang diisi anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya sendiri, dimana dia menyangka bahawa dengan beberapa suap makanan, maka punggungnya (kekuatannya) akan dapat tegak kembali. Seandainya dia terpaksa bersikap demikian juga, maka (isilah perutnya) sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan yang sepertiga lagi (kosongkan) untuk pernafasan (bernafas).” (Hadis Riwayat Turmudzi)

Keempat belas : Larangan makan sambil meniarap.

Saalim meriwayatkan daripada sumber bapanya ; “Bahawa Nabi SAW melarang seorang lelaki makan sedang dia duduk meniarap”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)



Kelima belas : Jangan memerhatikan orang sedang makan.
Seseorang yang sedang makan bila diperhatikan akan menyebabkan tidak selesa.

Keenam belas : Menjempun para tetamu untuk makan : “Sila menjamu selera!” kepada para tetamu.

Rasulullah SAW bersabda : “Yang masih tinggal cuma saya dan engkau.”
Abu Hurairah berkata ; ” Benar tuan, wahai Rasulullah SAW”
Baginda berkata : “Sila duduk, sila minum!”
Maka saya duduk , lalu saya minum.
Maka baginda berkata lagi : “Minumlah!”
Lantas saya minum.


Ketujuh belas : Sesudah makan menjilat pingan dan jari.

Sabda Nabi SAW bermaksud : “Sungguh kamu tidaklah mengetahui (bahagian) manakah (makanan kamu) yang mengandungi keberkatan.’
(Hadis Riwayat Muslim)

Malah Rasulullah SAW menyuruh umatnya agar menyapu makanan dalam pingan (untuk dimakan) .

“Perbuatan Nabi SAW dimana baginda menjilat (dan menghisap) sisi-sisi makanan (serta memakannya) daripada tiga putung jari (yang menjemput makanan) sebelum lagi baginda menyapu jari-jarinya.”
(Hadis Riwayat Musliam)


Kelapan belas : Larangan bangun meninggalkan makanan sehingga hidangan di angkat.

Sabda Nabi SAW bermaksud : “Apabila telah dihidangkan suatu hidangan, maka janganlah seseorang bangun sehingga diangkatkan hidangan, dan janganlah dia menggerakkan tangannya (berhenti makan) sekalipun dia sudah kenyang sehinggalah kumpulan (bersamanya) selesai makan, dan hendaklah dia menunggu kumpulan itu, kerana sesungguhnya seorang lelaki itu akan merasa malu duduk (lagi), maka dia akan berhenti makan, dan barangkali dia masih perlu untuk makan.”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)


Kesembilan belas : Memuji dan menyanjungi Allah.

Bila hidangan diangkatkan Nabi s.a.w memuji Allah SWT dengan doanya :
“Segala puji bagi Allah, sebagai pujian yang banyak, bagus dan diberkati. Kami tidaklah merasa cukup dengan seorang selain Engkau, kami tidaklah meninggalkan nikmat Engkau, dan kami tidaklah terkaya daripada kurniaan Tuhan kami.”


Kedua puluh : Membasuh kedua tangan selepas makan.
Hadis dari sumber Salmaan r.a. telah pun di sebutkan berbunyi : “Keberkatan makanan itu ialah membasuh dua tangan sebelum dan sesudah makan.”


Sahabat yang dikasihi.
Marilah sama-sama kita amalkan adab-adab makan dan minum yang diajarkan oleh Nabi SAW untuk menjadi peduman kita semua untuk mencari keberkatan dan mengikut sunnah baginda.

No comments:

Post a Comment